Daripada Ummu Salamah: “Aku bertanya: “Wahai Rasulullah! Adakah wanita di dunia lebih baik atau bidadari?” Jawabnya Baginda SAW: “Wanita di dunia lebih baik daripada bidadari sebagaimana yang zahir lebih baik daripada yang batin.” Aku bertanya lagi: “Wahai Rasulullah! Bagaimanakah itu?” Baginda SAW menjawab: “Dengan solat, puasa dan ibadah mereka kepada Allah, Allah akan memakaikan muka-muka mereka dengan cahaya dan jasad mereka dengan sutera yang berwarna putih, berpakaian hijau dan berperhiasan kuning…” – Riwayat At-Thabrani.
Sungguh
mulia dan sempurna seorang perempuan solehah itu, tarafnya di sisi Allah SWT
lebih tinggi daripada bidadari, malahan bidadari hanyalah ibarat gundik-gundik
yang mengiringi setiap pergerakannya.
Seringkali
orang bertanya, kenapa perlu adanya bidadari di syurga, sedangkan perempuan
solehah itu sudah cukup mempesona, sudah cukup sempurna?
Sebenarnya,
bidadari-bidadari syurga hanyalah memainkan peranan sebagai penyerlah
kecantikan perempuan solehah tersebut. Bayangkan sebuah bintang yang bersinar
paling gemerlap di langit, mana mungkin terserlah kecantikannya tanpa
bintang-bintang lain yang kurang bersinar di sekeliling. Mana mungkin terserlah
kecantikannya jikalau hanya bintang tersebut satu-satunya yang ada di langit.
Samalah juga dalam hal ini, perempuan solehah di syurga akan terserlah
kecantikannya dengan hadirnya bidadari-bidadari di sekelilingnya.
Bagaimanakah
yang dikatakan wanita salehah?
Seorang
gadis kecil berkata kepada ayahnya: “Wahai ayahku, aku ingin sekali menjadi
perempuan solehah. Bagaimanakah perihal perempuan solehah itu?”
Si ayah pun
menjawab: “Wahai anakku, seorang perempuan solehah itu bukan dilihat daripada
kecantikan dan keayuan wajahnya semata-mata. Wajahnya hanya memainkan satu
peranan yang teramat kecil. Akan tetapi, perempuan solehah dilihat daripada
kecantikan dan ketulusan hatinya yang tersembunyi di dalam dada. Itulah
perempuan yang terbaik.”
Sambung si
ayah lagi: “Anakku, seorang perempuan solehah bukan dilihat daripada bentuk
tubuh badannya yang mempesona, tetapi dilihat daripada sejauh mana ia menutup
bentuk tubuhnya yang mempesona itu. Perempuan solehah bukanlah dilihat daripada
sebanyak mana kebaikan yang diberikannya, tetapi daripada keikhlasan hatinya
ketika ia memberikan segala kebaikan itu. Perempuan solehah bukan dilihat
daripada seberapa indah lantunan suaranya, tetapi dilihat daripada apa yang
sering mulutnya bicara. Perempuan solehah bukan dilihat daripada keahliannya
berbahasa, tetapi daripada bagaimana ia bicara dan hujah kebenaran di
sebaliknya.”
“Lalu apa
lagi ayah?” Sahut puteri kecil itu, dengan perasaan ingin tahu yang tidak
berbelah bagi.
“Ketahuilah
puteriku, perempuan solehah itu bukan dilihat daripada keberaniannya memakai
pakaian yang grand, tetapi dilihat daripada sejauh mana ia berani
mempertahankan kehormatannya melalui apa yang dipakainya. Perempuan solehah
bukan dilihat daripada kekhuatirannya digoda orang di tepi jalanan, tetapi
dilihat daripada kekhuatirannya bahawa dirinyalah yang mengundang orang
tergoda. Perempuan solehah bukan dilihat daripada seberapa banyak dan besarnya
ujian yang ia hadapi, tetapi dilihat daripada sejauh mana ia menghadapi ujian
itu dengan penuh rasa redha dan kehambaan kepada TuhanNya, dan ia sentiasa
bersyukur dengan segala kurniaan yang diberikan.”
Si puteri
kecil mengangguk-angguk tanpa faham.
“Dan
ingatlah wahai puteriku,” sambung si ayah lagi. “Perempuan solehah bukan
dilihat daripada sifat mesranya dalam bergaul, tetapi dilihat daripada sejauh
mana ia mampu menjaga kehormatan dirinya dalam bergaul.”
Si anak
terus bertanya, “Wahai ayahku, siapakah yang memiliki sifat-sifat tersebut?
Bolehkah saya menjadi sepertinya? Mampukah dan layakkah saya untuk berada di
syurga nanti?”
Si ayah mengangguk-angguk
sambil menggosok-gosok kepala puterinya. “Ya, anakku. Sesiapa sahaja boleh
memilikinya. Nabi Muhammad SAW, rasul junjungan telah bersabda bahawa apabila
seorang perempuan itu menunaikan solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan,
menjaga kehormatannya dan mentaati suaminya, maka masuklah ia ke dalam syurga
dari pintu-pintu yang ia kehendakinya (riwayat Al-Bazzar).”
Wahai perempuan
solehah, ketahuilah bahwa,
- Engkau memang cantik selagi kau menutup malu,
- Engkau memang cantik selagi kau memelihara adab,
- Engkau memang cantik selagi kau menjaga aurat,
- Engkau memang cantik selagi kau menjaga batas,
- Engkau memang cantik selagi kau waras berhias,
- Engkau memang cantik selagi kau bersifat fitrah,
- Engkau memang cantik selagi kau pantang menyerah,
- Engkau memang cantik selagi kau terus bersolat,
- Engkau memang cantik selagi kau lurus bertaubat,
- Engkau memang cantik selagi kau jujur berilmu,
- Engkau memang cantik selagi kau taat suami,
- Engkau memang cantik selagi kau membaca Al-Qur’an,
- Engkau memang cantik selagi kau beradab sopan,
- Engkau memang cantik selagi kau kasih ibu bapa,
- Engkau memang cantik selagi kau mendidik keluarga,
- Engkau memang cantik selagi kau sabar & tenang,
- Engkau memang cantik selagi kau tegakkan Islam,
- Engkau memang cantik selagi kau mencegah kemungkaran,
- Engkau memang cantik selagi kau berniatkan Tuhan,
- Engkau memang cantik kerana kau seindah Islam!

0 comments:
Post a Comment